Rabu, 25 April 2012

Lokasi Sekolah


Organisasi Induk Sekolah



Duduk dari kiri: Pn. Hjh Saibah bt Hj Mansor(PK KK), Pn Zuraida bt Ariffin(PK P), Pn Hjh Normala bt Md Hassan(Pengetua), Pn Nor Azizan Binti Abdullah(PK HEM), Pn Suraiti bt Yahya (PK PKhas)
Berdiri dari kiri: Pn Yamini a/p Ambigapathy (KB Sains & Matematik), Pn Anita bt Abdul Rahman(KB Kemanusiaan), Pn Misah bt Sulaiman(KB Bahasa), dan Pn Noor Azizah bt Baharuddin(KB Vok&Teknik)

Sejarah Sekolah

PENGENALAN
   Sekolah ini telah ditubuhkan pada tanggal 2 April 1962, dengan nama sekolah Sekolah Menengah Lanjutan Ipoh tanpa bangunan sendiri.  Pada tahun 1962, murid-murid ditempatkan di Sekolah Menengah Tarcisian Convent, Ipoh pada sesi petang.  Apabila murid-murid bertambah pada tahun 1964 dan 1965, sekolah telah berpindah ke Sekolah Menengah Raja Perempuan di Jalan Kampar.

    Pada tahun 1966, sekali lagi sekolah ini berpindah iaitu ke Sekolah Menengah Rendah (Laki-Laki) Seri Kepayang pada sesi petang.  Nama sekolah telah ditukar ke Sekolah Menengah Rendah (P) Seri Kepayang pada penghujung Penggal Kedua tahun 1966.  Akhirnya pada awal tahun 1967, sekolah berpindah ke bangunannya sendiri.  Pada masa itu sekolah mempunyai kelas dari Tingkatan 1-3.  Pengetua pertama ialah Cik Chan Kam Peng.  Pada tahun 1968, oleh kerana bilangan murid bertambah dengan banyak maka kelas Tingkatan 1 ditempatkan ke sesi petang.

PERKEMBANGAN FIZIKAL - BANGUNAN

    Pada tahun 1973, dengan adanya bangunan baru, sekolah telah mempunyai Makmal Sains dan Bilik Sains Rumah Tangga.  Pada 31 Oktober 1977, Pengetua telah berpindah ke Sekolah Rendah Gopeng dan Puan Robitah bt Basir daripada King Edward VII, Taiping telah menggantikan tempat beliau. Semasa pentadbiran Puan Robitah telah diadakan bilik tambahan perpustakaan dan bilik sembahyang.  Pada tahun 1979 tiga buah Kelas Pendidikan Khas untuk murid-murid ‘pekak bisu’ telah dimulakan.  Tiga buah kelas itu mengandungi 2 kelas untuk murid-murid lelaki dan 1 kelas untuk murid-murid perempuan.  Pada 1 Januari 1980, Puan Robitah bt Basir telah berpindah ke Sekolah Menengah Raja Perempuan, Ipoh dan tempatnya diganti oleh Puan Habibah bt Abdul Aziz dari Sekolah Menengah Seri Puteri, Ipoh. Pada akhir tahun 1983, Pusat Sumber telah dilengkapkan dengan Bilik Tayangan.

    Pada 21 April 1986, Puan Hjh Siti Hanum bt Mohd Sangkut daripada SM Seri Puteri telah menggantikan Puan Hjh Habibah bt Abdul Aziz PPT yang telah bertukar ke Bahagian Perancangan dan Penyelidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia di Kuala Lumpur.

    Semasa pentadbiran Puan Hjh Siti Hanum bt Mohd Sangkut, Persatuan Ibu bapa dan Guru telah memberi bantuan kewangan untuk mengubah suai Bilik Kerjaya serta Bilik Pendidikan Khas.  Pada masa yang sama juga sebuah setor telah dibina di belakang kantin dan di bawah tangga.  Pada akhir 1988, pengubahsuaian telah dibuat untuk membesarkan bilik pejabat dan menyediakan bilik-bilik untuk Guru Kanan (P), Guru Kanan (HEM) dan Penyelia Petang serta sebuah Bilik Gerakan berhampiran dengan pejabat sekolah.  Bilik Guru telah dipindahkan ke Tingkat 1 Blok B dengan mengubah suai sebuah bilik darjah.

    Pada tahun 1989, Pendidikan Melalui Komputer diperkenalkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Perak. Sehubungan dengan itu sebuah bilik darjah diubah suai menjadi Bilik Komputer. Untuk melengkapkan bilik ini pihak sekolah telah mendapat sumbangan daripada Kelab Rotary Ipoh sebanyak RM4,000.20 dan komputer telah dibekalkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri. Pada bulan Julai 1989, kerja pembinaan Bengkel Kemahiran Hidup di Blok B dimulakan apabila mata pelajaran Kemahiran Hidup Tingkatan 1 diperkenalkan.

    Pada 1991, satu blok bangunan Sains Tulen dan 8 bilik darjah siap dibina dinamakan Blok D.  Setahun kemudian, kelas Tingkatan 4 Aliran Sains diperkenalkan di sekolah ini. Pada awal persekolahan 1991/1991, Puan Hasmah bt Megat Shariff, Pengetua SM Chemor telah ditukarkan ke sekolah ini untuk menggantikan Puan Hjh Siti Hanum bt Mohd Sangkut yang ditukarkan ke SM Raja Perempuan Kalsom, Kuala Kangsar.  Pada tahun 1992, kantin telah dinaik taraf dan sebuah tempat letak motosikal dibina.  Setahun kemudian iaitu pada tahun 1993 Bengkel Kemahiran Hidup yang baru dibina.  Sebuah pondok ilmu juga dibina dengan bantuan PIBG. Tandas pelajar Blok B telah dinaik taraf. Koperasi Sekolah ditubuhkan. Sekolah telah dinaik taraf ke Gred A mulai Mac 1994.

    Pada tahun 1996 tiga buah bilik darjah di Blok A telah diubah suai menjadi Bilik Guru.  Bilik Guru lama di Blok B telah diubah suai menjadi Bilik Gerakan. Pihak JPN juga telah menaiktaraf Bilik Ekonomi Rumah Tangga, tandas guru dan tandas pelajar.  Puan Khalipah Mastura bt Abdul Ghani, Ketua Unit Bahasa dan Agama, Politeknik Ungku Omar, Ipoh telah menjadi Pengetua mengganti tempat Puan Hasmah bt Megat Shariff yang bertukar ke SMK Gunung Rapat, Ipoh pada 16 Julai 1998. Di bawah pentadbiran beliau kemudahan ICT dipertingkatkan. Penggunaan Internet dan ‘homepage’ sekolah diperkenalkan. Kelas-kelas Pendidikan Melalui Komputer diperkemaskan dan guru-guru serta staf sokongan digalakkan mengikuti Kursus Komputer anjuran sekolah.  Pihak JPN juga telah memasang jeriji tingkat satu Blok A.

    Pada 16 Oktober 1999, Datin Hjh Hasnah bt Mohamed Idris, melapor diri sebagai Pengetua menggantikan tempat Puan Khalifah Mastura bt Abdul Ghani yang bersara wajib. Semasa pentadbiran beliau, beberapa perubahan dan pembangunan telah dilaksanakan di antara tahun 2000 – 2007.

    Pada tahun 2000, pagar dawai di antara SMK Seri Intan dan SMK Seri Putera digantikan dengan pagar konkrit. Pada tahun 2001, lantai Pusat Sumber Sekolah dan bilik darjah 1, Kelas Pendidikan Khas dijubinkan. Sebuah alat pendingin hawa sumbangan Ahli Parlimen dipasang di Pusat Sumber Sekolah.

    Pada tahun 2002, 5 buah alat pendingin hawa yang dibekalkan oleh pihak Jabatan Pelajaran Perak dipasang di Bilik Guru Blok A. Satu daripadanya dipasang di pejabat.

    Pada tahun 2003, pendawaian elektrik dibuat semula di Makmal Biologi dan kantin sekolah. Pada tahun ini juga, kedua-dua tandas guru lelaki dan perempuan dinaik taraf dengan lantai serta dinding dipasang jubin.

    Pada tahun 2004, rangkaian ‘school-net’ dipasang.  Longkang di belakang Blok Kantin dinaik taraf.  Bilik Sembahyang (surau) murid dijubinkan termasuk pembinaan ruang mengambil wuduk.

    Pada tahun 2005, lantai di Bilik Guru dijubinkan.  Pejabat sekolah, bilik Pengetua diluaskan dan bilik Penolong-penolong Kanan diwujudkan serta dipasang alat pendingin hawa sepenuhnya. Pada tahun ini juga bilik darjah ke-2 Kelas Pendidikan Khas diwujudkan serta dinaik taraf. Dinding pembahagi kelas dibina bagi kedua-dua kelas ini.  Pada akhir tahun 2005, premis lama di hadapan pejabat menganjur ke hadapan kantin dan pintu pagar sekolah diganti baru oleh pihak Jabatan Pelajaran Perak.

    Pada tahun 2006, Blok Bengkel Kemahiran Hidup ditambah dengan pembinaan stor baru bersebelahannya. Dalam masa yang sama, Bilik Gerakan dinaik taraf dengan lantainya dipasang jubin, pintu baru dan tambahan pemasangan alat pendingin hawa, termasuk sebuah dipasang di Pusat Sumber Sekolah. Pada tahun ini juga Blok A, B, C dan kantin sekolah dicat semula. Pondok Pengawal Keselamatan telah dibina pada akhir tahun ini apabila sekolah menerima perkhidmatan kawalan keselamatan swasta.

    Bulan Mei 2007, semua bumbung lama (asbestos) bangunan sekolah telah diganti dengan bumbung baru (metal deck).  Pada tahun ini juga, lantai kantin diganti dengan jubin baru.

    Pada tahun 2008, bumbung blok C diganti baru kesan daripada bencana alam (tiupan angin kencang) yang menimpa sekolah pada penghujung tahun. 

Pada tahun 2009, pentas untuk perhimpunan telah dibina baru oleh pihak PPD Kinta Utara. Pentas ini telah membolehkan semua guru berada di atas pentas semasa perhimpunan berlangsung.

Pada tahun 2010, sekali lagi sekolah dilanda bencana alam. Tiupan angin kencang ini merosakkan sekali lagi blok C. Ini menyebabkan pihak PPD menggantikan bumbung metal deck dengan bumbung asbestos. 

Pada akhir tahun 2010 (bulan Disember) pihak Jabatan Bekalan Air Perak telah mengubah laluan saluran paip air. Meter air dipindahkan dari dalam kawasan sekolah ke luar kawasan sekolah.

Pada tahun 2011 sekali lagi tiupan angin melanda sekolah dan menerbangkan bumbung blok B. Kali ini  merosakkan Bilik Jahitan. Kerja-kerja pembaikan dilakukan oleh pihak PPD Kinta Utara.

    Atas usaha Pengetua, awning dibuat di antara blok A dan blok B. Awning juga dibuat di ruang legar Pendidikan Khas. Ini bagi membolehkan aktiviti luar bilik darjah dijalankan untuk para pelajar Pendidikan Khas.

    Atas ihsan PIBG, bilik komputer telah dinaiktarafkan. Sekolah ada menerima bantuan komputer terpakai daripada Jabatan Hasil dan Audit Negara.

PERKEMBANGAN KURIKULUM
    Mata pelajaran Sains Paduan telah dimulakan di Tingkatan 1 pada tahun 1971 dan pada tahun berikutnya mata pelajaran Hisab Moden pula diperkenalkan di Tingkatan 1.  Pada tahun 1973, buat pertama kalinya murid-murid Tingkatan 3 telah ditawarkan dengan pelajaran Sains Paduan bagi menggantikan pelajaran Sains Paduan bagi menggantikan pelajaran Sains Am.

    Pada tahun 1974, merupakan tahun pertama murid-murid mengambil peperiksaan MCE dan pelajaran Hisab Moden telah diperkenalkan kepada pelajar-pelajar Tingkatan 3. Untuk mempercepatkan Dasar Pelajaran Kebangsaan dilaksanakan, Kelas Peralihan telah diadakan. Peperiksaan LCE telah berakhir pada tahun 1977 dan pada tahun 1978 peperiksaan LCE digantikan dengan peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP).

    Sekolah ini telah mendapat kelulusan yang agak baik terutama di dalam peperiksaan LCE/SRP di kalangan sekolah-sekolah menengah rendah di Ipoh.  Sekolah ini telah berjaya mengeluarkan murid-murid yang mendapat 7A dalam LCE/SRP pada tahun 1969, 1977 dan 1978. Ada di antara pelajar-pelajar yang berjaya di dalam pertandingan Peringkat Daerah seperti melukis dan dalam bahagian-bahagian lain.

    Pada tahun 1981, pihak sekolah telah dapat meningkatkan pencapaian pelajar-pelajar dalam peperiksaan SPM dari pencapaian biasa (purata lima puluhan peratus) kepada 77.9%.  Kejayaan ini amatlah memberangsangkan bagi murid-murid sekolah ini yang pencapaiannya sederhana mengikut jenis murid-murid yang berada di sekolah ini.  Pada tahun ini juga mata pelajaran Makanan dan Pemakanan buat pertama kalinya diambil oleh murid-murid sekolah ini pada peperiksaan SPM. Walau bagaimanapun mata pelajaran ini tidak ditawarkan lagi pada murid-murid Tingkatan IV tahun 1989 kerana kurang mendapat seorang murid yang berjaya mendapat 8A di dalam peperiksaan SRP.  Manakala bagi peperiksaan SPM tahun 1984 merupakan tahun bersejarah bagi sekolah ini kerana berjaya mencapai keputusan 77.7% dengan 7 orang pelajar mendapat gred satu.

    Pada tahun 1987, kurikulum baru Sekolah Menengah telah dimulakan dengan mata pelajaran Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil di Kelas Peralihan. Pada tahun 1989, semua mata pelajaran di Tingkatan Satu telah mengikuti Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM) dan satu lagi mata pelajaran KBSM diperkenalkan iaitu mata pelajaran Kemahiran Hidup.

    Pada tahun 1989, Jabatan Pelajaran Negeri Perak telah memperkenalkan Pendidikan Melalui Komputer. Sekolah ini merupakan di antara 10 buah sekolah di Daerah Kinta yang telah dipilih untuk memulakan pelajaran komputer di Tingkatan Peralihan hingga Tingkatan Dua. Satu waktu dalam seminggu digunakan untuk mengikuti pelajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris melalui komputer.

    Sehingga 1998, sekolah mempunyai 20 buah komputer yang telah dinaik taraf dan dijalankan ‘net working’ untuk pengajaran dan pembelajaran. Pencapaian sekolah dalam peperiksaan PMR dari tahun 1991 hingga 1997 sentiasa menggalakkan.  Kelulusan pada tahun 1991 65.7%, 1992 69%, 1993 73.7%, 1994 81.3%, 1995 85.4%, 1996 97.0% dan 1997 100%. Peningkatan pada tahun 1997 adalah yang tertinggi kerana pelajar yang lulus 1D juga diambil kira dan diterima untuk meneruskan pengajian mereka ke Tingkatan 4. Pada tahun 1998, semua pelajar dinaikkan ke Tingkatan 4.  Pelajar-pelajar ini merupakan kumpulan pertama yang akan mengambil sijil terbuka SPM pada tahun 2000.

    Pencapaian sekolah dalam peperiksaan SPM juga menunjukkan berlaku peningkatan yang memberangsangkan. Pada tahun 1991 peratus pelajar yang lulus SPM ialah 62.1%, tetapi telah jatuh dengan banyak juga pada 1992 iaitu 42.4%.  Setelah dibuat beberapa program yang terancang keputusan SPM meningkat pada tahun berikutnya, 1993 69.8%, 1994 62.9%, 1995 64.1%. Pencapaian tertinggi diperolehi pada tahun 1996 iaitu 76.0% dan pada tahun 1997 75.6%.  Pada tahun 1998 keputusannya ialah 73.16%.

    Sekolah telah berjaya meningkatkan prestasi peperiksaan SPM apabila pelajar-pelajar Aliran Sains mula menduduki peperiksaan tersebut pada tahun 1993.

    Mulai tahun 2000 hingga 2006, pada umumnya terdapat peningkatan dalam keputusan peperiksaan awam PMR dan SPM.  

Tahun PMR Semua A SPM Semua A 
2000 54.40%  83.70% 
2001 59.50%  88.70%  
2002 66.70%   78.40%  
2003 54.70%   85.30%  
2004 86.90%   85.50%  
2005 64.42%   76.97%  
2006 89.09%   84.40%  
2007 64.93%   95.70%  
2008 64.55% 1 88.10% 
2009 65.91%8 89.42% 1
2010 71.91%4 87.34% 1

    Yayasan Perak masih lagi menaja Program Tuisyen Gemilang bagi peperiksaan PMR dan SPM untuk tahun 2008, 2009, 2010 dan 2011. Seorang pelajar sekolah telah layak menjadi pelajar di Sekolah Menengah Tinggi Permata Pintar, UKM Bangi. Program Permata Pintar ini adalah cetusan idea Datin Rosmah isteri Perdana Menteri Malaysia.


PERKEMBANGAN KOKURIKULUM
    Perkembangan kokurikulum sejak tahun 1980an agak memberangsangkan di mana sekolah telah diberi kepercayaan untuk mengendalikan aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah.

    Mulai tahun 1978-1979, sekolah telah dilantik menjadi Pengerusi bagi Pertandingan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Perak (MSSPK) di Stadium Perak.  Pada tahun 1981 sekolah telah berjaya menjadi Johan Negeri Perak dalam pertandingan Hoki (18 tahun). Mulai tahun 1982 sekolah telah menukarkan nama Rumah-Rumah Sukan kepada Rumah Delima (Merah), Rumah Nilam (Biru), Rumah Zamrud (Hijau) dan Rumah Baiduri (Kuning).

    Pada tahun 1988, enam buah kelab telah ditubuhkan iaitu Kelab Kebajikan, Kelab Warganegara, Kelab Keselamatan, Kelab Aerobik, Kelab Kerjaya & Kraftangan.  Ada di antara kelab-kelab itu didapati tidak mendaat sambutan, lalu dibubarkan dan diganti dengan kelab-kelab lain. Kelab-kelab yang ada di sekolah sehingga kini ialah Kelab Komputer, Kelab Seni Visual dan Kraftangan, Kelab Kebudayaan, Kelab Bimbingan dan Kaunseling, Kelab SPBT, Kelab Ekonomi Rumah Tangga dan Rekacipta, Kelab Pengguna dan Pencinta Alam dan Kelab Pencegahan Jenayah. Terdapat juga persatuan akademik untuk membantu pelajar-pelajar bergiat cergas dalam bidang kokurikulum seperti Persatuan Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Sains & Matematik, Geografi, Sejarah, Agama Islam dan Pusat Sumber Sekolah. Unit-unit Beruniform sekolah juga diwujudkan iaitu Persatuan St. John Ambulans, Pasukan Pandu Puteri, Unit Renjer Puteri, Pergerakan Puteri Islam dan Pasukan Kadet Remaja Sekolah.

    Pencapaian sekolah dalam bidang kokurikulum juga menggalakkan. Dalam tahun 1992, Moh Siew Wei dan Yap Lee Peng telah berjaya mewakili Perak dan Lompat Pagar dan 100 meter.  Moh Siew Wei seterusnya berjaya mewakili Malaysia dalam Kejohanan Olahraga MAAU, Junior Open di Stadium Perak dan berjaya mendapat tempat kedua dalam acara 100 meter lompat pagar.  Pada tahun yang sama, pasukan Bola Tampar di bawah umur 18 tahun dan 15 tahun telah menjadi Naib Johan Kinta 1.  Seorang pemain Bola Tampar sekolah ini iaitu Woon Sin Loo telah mewakili Perak ke Pertandingan Bola Tampar MSSM.

    Pada tahun 1993 Pasukan Bola Tampar bawah 18 tahun telah menjadi Johan Daerah Kinta 1.  Pada tahun yang sama juga dua orang peserta olahraga sekolah, iaitu Moh Siew Wei dan Teh Faridah telah dipilih mewakili Negeri Perak dalam Kejohanan Olahraga MSSM di Kuala Lumpur. Moh Siew Wei telah mengharumkan nama sekolah apabila dia dipilih mewakili Perak dalam Kejohanan Olahraga Terbuka ke-3 EON di USM Pulau Pinang dalam acara 100 meter lompat pagar dan mendapat tempat kedua. Beliau turut dipilih untuk mewakili Negara dalam Kejohanan Antarabangsa Tunas Cemerlang di Singapura dalam acara yang sama dan mendapat tempat kedua juga.

    Pada tahun 1994, tiga orang pelajar telah mewakili Perak dalam Sukan Malaysia (SUKMA). Enam orang pelajar pula telah berjaya mewakili Negeri Perak dalam Pertandingan Menembak Antarabangsa di Pulau Pinang. Tiga daripada mereka itu Tan Sook Win dan Chan Pui Fun berjaya menduduki tempat kedua dalam pertandingan menembak mengguna pistol, sementara Shariza Mohd Jamil pula mendapat tempat kedua dalam pertandingan menembak menggunakan senapang. Tiga orang wakil Negeri Perak yang merupakan pelajar-pelajar sekolah ini telah mendapat pingat emas dalam Kejohanan Menembak di Singapura. Mereka yang berjaya itu ialah Isnel Aljanatul Mawa bt Mohd Aziz, Intan Murni dan Shariza Mohd Jamil.

    Dalam kejohanan Olahraga MSSPK Daerah Kinta, seorang pelajar Lavarna a/p Arulprakesam telah menjadi Johan dalam acara Lompat Pagar.  Pasukan Bola Tampar bawah 18 tahun menjadi Johan Kinta dan Naib Johan MSSPK. Dua orang pelajar Rohaizah Hanim bt Hj Hussein dan Sarimah bt Abu Bakar telah dipilih mewakili Perak dalam Kejohanan Lawn Bowl Kebangsaan di Ipoh.Seorang pemain Hoki sekolah, Noorazlin bt Mohamad telah dipilih mewakili Perak.

    Dalam tahun 1996, sekali lagi pasukan Bola Tampar menjadi Johan MSSPK Daerah Kinta 1. Dalam acara Lontar Peluru bawah 18 tahun MSSPK, wakil sekolah telah berjaya menjadi Johan. Dalam tahun 1997, seorang pelajar Rozella bt Razallee telah berjaya menjadi Johan dalam acara Lari 4x100 meter dalam Kejohanan Olahraga MSSPK. Dalam Ekspo Pendidikan Bistari Negeri Perak, Ananthi a/p Jeyaraju berjaya menjadi Johan Kupasan Buku Daerah Kinta dan mewakili Daerah ke Peringkat Negeri.  

    Pencapaian sukan pada tahun 1998, dalam pertandingan hoki bawah 18 tahun, sekolah meraih tempat ketiga. Dalam acara Lompat Jauh (bawah 15 tahun), Rozellah bt Roslee berjaya menjadi Johan dan dalam acara Lompat Tinggi mendapat tempat kedua. Acara-acara lain iaitu Lontar Peluru dan Merejam Lembing, peserta sekolah berjaya mendapat tempat ketiga dan mendapat tempat kedua dalam acara Lari Berganti-ganti bawah 18 tahun dan 16 tahun.Dua orang pelajar sekolah juga telah menyertai Karnival Olahraga Sekolah-Sekolah Daerah dan berjaya mendapat pingat gangsa dalam acara Lontar Peluru dan Lempar Cakera.

    Dalam tahun 1999 pula, pasukan Bola Jaring bawah 18 tahun telah berjaya masuk ke peringkat akhir dan mendapat tempat ke-4 (Peringkat Daerah). Dalam Kejohanan Olahraga Daerah, sekolah berjaya menunjukkan kecemerlangan apabila menang tempat pertama dalam acara Lompat Jauh bawah 18 tahun, tempat kedua acara Lompat Jauh bawah 15 tahun dan tempat ketiga dalam acara Lontar Peluru dan Lempar Cakera bawah 14 tahun. Seorang pelajar iaitu Kalai Vani a/p Maniam (3A) pula telah berjaya menjadi Johan Program Banyak Membaca Peringkat Negeri Perak dengan hadiah buku bernilai RM100.00 dan cek bernilai RM200.00.

Kelas Pendidikan Khas juga telah menyertai pertandingan beberapa pertandingan peringkat daerah dan negeri. Pada tahun 2006, kumpulan nasyid Pendidikan Khas telah menjadi Naib Johan dan dalam Pertandingan Bercerita Kisah Nabi, Nur Munirah bt Zainal Abidin telah berjaya menjadi Johan. Dalam bidang sukan,Yuzi Nur Wahidah bt Buyong Basri telah berjaya menjadi Johan Olahraga (Lontar Peluru) 2006 peringkat Negeri dan mendapat tempat ke-5 peringkat Kebangsaan. Pada 2007, beliau telah menjadi Johan Lontar Peluru Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas Negeri Perak dan berjaya menjadi Naib Johan di Peringkat Kebangsaan.

    Mulai tahun 1999 hingga sekarang, sekolah telah dilantik menjadi Pengerusi bagi beberapa Kejohanan Peringkat Daerah dan Negeri seperti Pengerusi Kejohanan Hoki MSSD KInta 2004-2005 dan Pengerusi Kejohanan Tenis 2006 Peringkat Daerah Kinta dan Negeri Perak. Sekolah juga telah diamanahkan menjadi Jawatankuasa jamuan majlis Anugerah Sukan MSS Perak 2006, Jawatankuasa Jamuan untuk Kejohanan Tenis dan Kriket MSSM 2007, Kejohanan Sepak Takraw KPM-MSM-PSM 2007, Jawatakuasa Jamuan Kejohanan Badminton dan Skuasy MSSM 2010, Jawatankuasa Minuman Sofbol MSSPK 2010 serta pada tahun ini dipertanggungjawabkan dalam Jawatankuasa Hadiah dan Cenderamata untuk Larian Kebangsaan 1M1S 2011.

    Pencapaian sekolah dalam bidang sukan dan kokurikulum sangat membanggakan.  Dalam sukan Badminton, sekolah mempunyai Chea Kar Yan dan Khoo Chee Wan yang mewakili Perak dalam MSSM (2002-2007)dan Chow Yi Lin berjaya menjadi Naib Johan dalam Perseorangan bawah 18 tahun Negeri Perak 2011. Dalam acara olahraga, Hamizah Hamidon (Lompat Tinggi & Lompat Jauh) dan Cheah Horng Ling (Lontar Peluru dan Lempar Cakera) telah mewakili Daerah Kinta (2003-2005). Juliana Choo telah memenangi tempat ke-3 dalam Gimrama MSSPK 2006 dan 2007. Pasukan Bola Tampar bawah 18 tahun telah menjadi Naib Johan Kinta I pada tahun 2003 dan berjaya menjadi Johan pada tahun 2004. Pada tahun ini dua pelajar iaitu Nur Aisyhah bt Tukiman dan Ain Izwani bt Mubarak telah terpilih mewakili Kinta Utara ke Pertandingan Sofbol MSSPK 2011 dan mendapat tempat ketiga dalam pertandingan ini. Dalam permainan karate, seorang pelajar tingakatan satu,Tharshini a/p Sentersegarran telah berjaya menjadi Johan dalam Kejohanan Ipoh City International Karate Championship 2011.

    Pasukan Boling Padang, yang diketuai oleh Nor Iryani Azmi telah menjuarai acara pairs pada Kejohanan Boling Padang pada tahun 2005 dan 2006 Peringkat Kebangsaan. Beliau juga mengharumkan nama sekolah dan negara apabila muncul sebagai juara dunia apabila menjuarai Kejohanan Bowling Padang Antara Juara-Juara Dunia di New Zealand  pada tahun 2005. Adiknya Nor Dalila Azmi turut mencatat kejayaan cemerlang dalam bowling padang apabila menduduki tempat ke-3 dalam acara triples Kebangsaan 2007, Johan Piala Antara Borneo 2009, Johan acara `pairs’ Sukan Terengganu dan mewakili Perak ke Pertandingan SUKMA 2008 dan 2010 bersama Nurbaliya. Dalam Permainan Lawan Pedang, peserta sekolah Nurul Syakila Qhariah bt Khir Nordin, Nur Hafizoh bt Jamil dan Salwa bt Mohamed Redzuan telah mendapat tempat ketiga Kejohanan SUPER 2009 (Sukan Perak), Naib Johan Terbuka Melaka 2010 serta mewakili Perak dalam Kejohanan SUKMA 2008 dan 2010.

       
PERKEMBANGAN HAL EHWAL MURID

    Sejak tahun 2000 sekolah ini telah berusaha mengurangkan masalah disiplin khasnya kes ponteng sekolah.  Dengan pelaksanaan program “Untunglah Saya Hadir”. Dan penganugerahan sijil kehadiran penuh pada setiap akhir tahun, matlamat ini telah tercapai.  Peratus kehadiran penuh telah meningkat sepanjang tahun 2007.

Program pembangunan insane melalui aktiviti-aktiviti seerti penghayatan Ramadhan, Gotong royong, Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) telah dilaksanakan secara terancang dan berkesan.


PERKEMBANGAN-PERKEMBANGAN LAIN
    Sejak tahun 1991 hingga 1999, beberapa perkembangan & penambahan telah dilakukan di sekolah dengan bantuan PIBG. Antaranya pihak PIBG telah membiayai melebarkan ruang kantin untuk keselesaan pelajar, mengubah suai bilik dalam kantin untuk dijadikan tempat guru makan. Selain itu perubahan juga dilakukan di Pusat Sumber dan Bilik Ibadat pelajar-pelajar dan guru. PIBG juga telah menyumbang untuk pembinaan tempat motosikal, setor PJK, taman serta air pancut (fountain) dan kerusi-kerusi batu di padang. Alat pembesar suara, kerusi-kerusi plastik dan bangku batu untuk keceriaan sekolah juga dibiayai oleh PIBG. 4 buah kipas angin dipasang di kantin sekolah dan 10 buah lagi di bilik guru.

    Di antara tahun 2000 hingga 2007 pihak PIBG telah banyak membantu membiayai program dan pembangunan sekolah dengan menguruskan kutipan derma tahunan dan aktiviti-aktiviti menambahkan tabung PIBG seperti, Jogathon (2001), Senamrobikton (2003), Skippingthon (2005) dan Senithon (2007).  Dataran kejat dibina di bawah pondok rehat murid.  Alat siaraya dewan sekolah telah dibeli baru pada tahun 2007. Pembelajaran Melalui Komputer dan kemudahan komputer untuk murid di Pusat Sumber Sekolah di Bilik Komputer juga dibiayai oleh PIBG sekolah. Selain daripada itu, terdapat juga kemudahan School Net dan Streamyx.

    Pada penghujung tahun 2008, sekolah telah dilanda bencana alam. Tiupan angin yang kencang telah menerbangkan bumbung dan syiling blok C.Pusat Sumber Sekolah rosak teruk. Hampir 70% bahan bacaan dilupuskan dan semua peralatan ICT tidak dapat digunakan. Bencana alam ini dialami dua kali lagi iaitu pada Julai 2010 dan Mac 2011. Syukur Alhamdulillah tiada tragedi yang berlaku. Semoga Allah swt melindungi keselamatan warga sekolah daripada bencana alam ini.